Sunday, January 17, 2010

Ahli Parlimen PR cari dana sendiri (Sinar)


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendakwa terpaksa mencari dana sendiri contohnya seperti mengadakan konsert terbuka untuk aktiviti kawasan masing-masing kerana tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat.


Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata, dana yang sepatutnya diperuntukkan untuk setiap Ahli Parlimen tidak pernah diperoleh oleh parlimen PR dan ia memaksa Ahli Parlimen PR memikirkan cara yang kreatif untuk memperoleh dana. “Oleh itu, tindakan (Ahli Parlimen Jelutong) Jeff Ooi Chuan Aun mengadakan konsert sebagai sesuatu yang amat baik dan bijak, kerana kami ahli parlimen PR tidak dapat sesen pun peruntukan untuk setiap parlimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Selain itu, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw berkata, tindakan Jeff Ooi mengadakan sebuah konsert untuk mendapat dana adalah hak masing-masing untuk kawasan parlimen mereka. “Apa yang paling penting, ia haruslah melalui saluran yang betul selagi ia tidak menyalahi undang-undang negara, kerana sebelum ini DAP sering mengadakan konsert secara kecil-kecilan dari masa ke semasa, jadi ia terserah kepada setiap individu,” katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pula mendakwa wang tersebut sepatutnya disalurkan kepada setiap ahli parlimen tetapi sebaliknya ia diperoleh oleh Ketua UMNO Bahagian.


“Wang tersebut tidak diberi kepada kita tetapi kepada Ketua UMNO Bahagian, tapi saya tidak tahu, yang pasti wang tersebut memang tidak pernah sampai kepada kita,” katanya. Malam kelmarin, Jeff Ooi telah mengadakan satu konsert dan mendakwa memperoleh sejumlah RM200,000 untuk dana kawasannya.

No comments:

Post a Comment